Buku  di atas adalah nukilan Allahyarham Pak Wa...
Buku berkaitan dengan Selawat Nabi. Semoga pembaca dapat manfaat dari buku ini dan semoga manfaat itu menjadi amal jariah buat allahyarham, Al Fatihah...

PERUBATAN DALAM PERSILATAN


Pada zaman yang serba moden ini nampaknya telah banyak pusat-pusat rawatan tradisional berdaftar yang wujud untuk merawat sakit-sakit yang tidak dapat diselesaikan oleh perubatan konvensional seperti histeria, gangguan makhluk halus, santau dan lain-lain. Maka tumbuhlah bermacam-macam Darul yang bertujuan untuk merawat sakit-sakit tersebut, sehingga timbul perbalahan antara perawat-perawat tersebut yang mendakwa kaedah mereka lebih Islamik berbanding perawat yang lain. Sebenarnya  perubatan tradisional ini telah pun wujud  sejak berzaman dulu dan tidaklah pula dikomersialkan. Cuma sekarang ini  kebanyakan daripada kita kurang mempercayainya kerana zaman telah berubah dan lebih percaya kepada  perubatan moden. Tambahan pula banyak terjadi kes dimana pesakit yang ingin berubat secara tradisional telah ditipu oleh perawat, dicabul dan sebagainya.

            Samada sedar atau tidak, sebenarnya perubatan tradisional di dalam persilatan ini beriringan dengan silat  itu sendiri. Hampir semua guru-guru silat yang ditemui mahir di dalam bidang perubatan ini. Sebagai contoh, seseorang dikatakan Panglima apabila  dapat memimpin orang-orang lain dibawahnya dan mempunyai kemahiran yang pelbagai(ilmu agama, perubatan dll) di samping ketangkasan dan kehandalan di dalam pertarungan. Pendekar pula lebih kepada seseorang yang dikatakan handal di dalam bab pertarungan sahaja.

            Dalam Perguruan Halilintar, kaedah perubatan bukanlah sesuatu yang asing. Namun perubatan bukanlah matlamat utama silat ini, hanya tambahan sahaja.Namun bagi yang beramal kadangkala kepakaran mengubat mereka lebih tinggi daripada silat. Ada di antara anak murid Guru Murad yang telah berjaya membuka pusat rawatan yang terkenal di Terengganu dan menjadikan perubatan ini sumber utama pendapatanya dan  ada juga yang pernah  menjadi salah seorang perawat di Istana.  Kaedah Perubatan ini dikenali dengan nama Empat Sahabat. Antara penyakit yang biasa dirawati adalah sihir  dan gangguan makhluk halus.

 Kebiasaanya selepas habis latihan silat, Guru Murad akan mengajar kaedah-kaedah dan petua –petua perubatan. Selain Guru Murad Pak Wa juga adalah antara Guru yang aktif di dalam perubatan suatu ketika dahulu. Antara kepakaranya adalah menarik makhluk-makhluk yang mengganggu pesakit dengan menggunakan limau dan kain putih. Limau digunakan sebagai pam vakum yang menyedut makhluk halus sebelum dibungkus dengan kain putih dan dimatikan dengan paku. Prof Muchtar Lintang pula memperkenalkan kaedah jurus tidur yang digunakan untuk melihat keadaan dalaman pesakit sebelum memutuskan kaedah perubatan yang sesuai digunakan.

             

PERMATA YANG HILANG - NASRUL HAQ

Ketika media massa dan rakyat Malaysia sekarang ini sibuk membahaskan isu membawa pulang ketua Parti Komunis Malaya, iaitu Chin Peng, penulis teringatkan salah satu seni mempertahankan diri atau silat yang telah diharamkan oleh JAKIM iaitu Nasrul Haq. Nasrul Haq diharamkan atas alasan ianya bukanlah dari ajaran Islam. Penulis bukan mempersoalkan kenapa ia diharamkan, tetapi mengikut pandangan otai-otai atau orang lama dalam silat ini mereka masih tertanya-tanya kenapa ia diharamkan pada masa tersebut. Antara persoalan yang timbul adalah silat ini tidak melakukan perkara-perkara yang jelas mencarik adat atau luar biasa seperti berjalan di atas bara api, kebolehan untuk makan kaca, ditetak dengan parang tapi tidak lut, ditanam hidup-hidup tapi tidak mati dan lain-lain. Ironinya silat-silat lain yang jelas terdapat perkara-perkara tersebut tidak pula diharamkan walaupun jelas ianya bukan dari ajaran Islam. Ada di antara orang-orang lama pada masa tersebut juga berpendapat mungkin ia diharamkan oleh sebab-sebab seperti tekanan pihak tertentu? Ada juga yang berpendapat atas faktor politik kerana pada masa silat ini diperkenalkan setiap hari ahli yang mendaftar adalah lebih kurang 2 ribu orang. Bayangkan pengaruh yang diperolehi oleh guru kepada silat ini. Salah seorang Guru Utama silat ini pula adalah menteri Belia dan Sukan pada ketika itu, iaitu Y.B Tan Sri Haji Abdul Samad Idris. Faktor lain seperti pembawaan segelintir ahli yang belajar silat ini yang menyimpang atau menyalahgunakan silat ini juga tidak dapat dinafikan seperti beribadat hanya untuk mencari hebat.
Berkenaan dengan ancaman komunis pula, ayah penulis merupakan salah seorang ahli pasukan keselamatan yang banyak bercerita mengenai kelebihan silat tersebut. Seingat penulis salah satu baiah atau sumpah ahli silat ini adalah “ Demi Allah, saya bersumpah, bahawa saya, akan ikut mempertahankan Negara ini, dari ancaman komunis dan golongan anti Islam”. Sayangnya, penulis tidak dapat belajar silat ini daripada ayah penulis kerana pada masa itu penulis masih bersekolah dan ayah penulis juga sering masuk hutan untuk operasi melawan pihak komunis. Salah seorang kenalan penulis iaitu Haji Husin iatu seorang anggota polis hutan yang bertugas pada tahun 80an dulu juga banyak bercerita mengenai keberkesanan silat ini semasa beliau menjalankan tugas semasa darurat dulu. Beliau juga merupakan salah seorang jurulatih silat ini.
Sekali lagi penulis menegaskan, penulis bukan mempersoalkan kenapa silat ini diharamkan. Tapi sekiranya bekas komunis atau ejen komunis yang ada di Negara kita mengatakan mereka berjasa kerana membebaskan negara ini dari penjajah, maka penulis juga berhak menyatakan bahawa silat ini juga berjasa di dalam melawan keganasan pengganas komunis di zaman darurat dahulu.
Berikut adalah jurus atau langkah-langkah yang terdapat di dalam Silat Nasrul Haq seingat penulis:
1. Kepal
2. Sogok Terlentang
3. Sogok Tertangkup
4. Siku Dua
5. Sogok Bawah Terlentang
6. Sogok Bawah Tertangkup
7. Setir/ Sogok Satu
8. Kewal Tahan
9. Lewatan
10. Tendet/ Cincang
11. Siku Satu
12. Giles perut
13. Pites/ Tekan
14. Kendor
15. Buka Sogok
16. Sogok Atas Bawah
17. Seperempat Alif @ Ibu Jurus

Wallahu A’lam…

Pengasas Nasrul Haq

1.  Tan Sri Haji Abdul Samad Idris (Khalifah Nasrul Haq Malaysia)
2. Tuan Haji Johannes Choeldi (Khalifah Nasrul Haq)


3. Prof Muchtar Lintang (Penasihat)









PERANAN ULAMA DALAM SILAT

Peranan ulama dalam silat hanya dapat penulis tonjolkan kepada pemikiran Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fi sabilillah.
Kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu dipercayai menggunakan 'senjata' qalam untuk mengajar umat Melayu dan juga senjata pedang untuk perjuangan di medan jihad fi sabilillah demi mempertahankan kesucian Islam dan watan daripada penjajah.
Jika kita anggap ilmu silat adalah untuk mempertahankan diri peribadi, jihad pula adalah mempertahankan Islam dan tanah air.
Jadi kedua-dua ulama kita itu adalah lebih agung, kerana banyak jenis silat yang dikuasainya. Yang dimaksudkan di sini ialah:
1-silat menggunakan qalam/pena,
2-silat kalam/lidah,
3-silat menggunakan siasah/politik, dan lain-lain termasuklah
4-silat ketangkasan di medan juang yang sebahagiannya dijadikan sebagai satu cadang seni atau budaya.

Pelajaran silat dalam Kerajaan Pontianak

Tidaklah janggal pada kesempatan ini penulis mulakan petikan mengenai silat yang termaktub dalam sebuah manuskrip "Syair Kerajaan Pontianak".
Kerajaan Pontianak (Indonesia) memang bukan dalam Malaysia, tetapi adalah sebuah kerajaan Melayu yang didirikan oleh Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri yang direstui dan dirasmikan oleh pahlawan Melayu-Bugis, Raja Haji bin Upu Daeng Celak.
Raja Haji pula adalah seorang pahlawan Melayu agung sesudah Hang Tuah, kerana hampir keseluruhan negeri-negeri Melayu pernah dikunjunginya. Akhir riwayat Raja Haji gugur sebagai syahid fi sabilillah di Teluk Ketapang, Melaka.
Syair Kerajaan Pontianak ditulis beberapa tahun setelah berdirinya Kerajaan Melayu-Islam Pontianak, dalam petikan tersebut juga jelas mencerminkan minat dan kesungguhan Sultan Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri terhadap seni dan budaya silat. Untuk lebih jelas dan merupakan dokumen sejarah persilatan Melayu, Bab Silat dalam Syair Kerajaan Pontianak penulis sebutkan beberapa petikan awal darinya, iaitu:

Setelah sudah berperi-peri,
baginda berangkat lalu berdiri
Panggilkan Mat Raiyat suruh ke mari,
serta dengan Wan Bakari.
Wan Ahmad, Wan Bakar datanglah sudah,
kepada baginda tunduk menyembah
Dengan segeranya baginda bertitah,
Adalah sedikit hendak diperintah.
Baginda tersenyum seraya berkata,
Jikalau suka rasanya cita
Tuan-tuan yang muda ajarkan kita,
diajarkan silat bermain senjata.
Tuan ajarkan padan-padan,
boleh dilihat usulnya badan
Bagaimana di dalam contoh teladan,
yang mana patut main di medan.

*Tulisan Sheikh Daud Abdullah Al-Fathani mengenai jihad dalam Islam
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah ulama besar dunia Melayu yang terlibat langsung bersama-sama Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam medan jihad melawan pencerobohan Siam di bumi Patani Darus Salam.
Tulisan-tulisan beliau mengenai hukum jihad telah penulis perkenalkan dalam penulisan-penulisan sebelum ini, di mana jelas menggambarkan bahawa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama pejuang Islam sebenar dan sejati serta bertanggungjawab terhadap ummah dan watan Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan kuffar.
Sebagai tambahan, di sini penulis petik pula pandangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tentang jihad yang beliau tulis dalam kitab Bughyat at-Thullab.
Transliterasi selengkapnya ialah: "Dan setengah daripadanya, perang sabil bagi kuffar, yakni wajib bagi Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu, maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau Naib Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu.
"Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia, dan ditaruhkan senjatanya, dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu. Maka hendaklah diperbuat akan salah suatu daripada keduanya maka gugurlah fardu kifayahnya. Ini jika tiada mereka itu datang kepada negeri kita.
"Maka jika datang ia kepada negeri Islam maka jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ... " (Bughyat at-Thullab, jilid 1, hlm. 95).
Ulasan dan pandangan, daripada kalimatnya "Maka jika datang ia kepada negeri Islam ... " dapat kita bandingkan peristiwa penjajahan bangsa Barat-Belanda dan Inggeris di dunia Melayu pada zaman Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dengan peristiwa Amerika, pengganas terbesar dunia, yang telah menjajah Afghanistan dan Iraq.
Sebagaimana telah disebutkan bahawa Belanda dan Inggeris telah menjajah dunia Melayu, perlu pula dinyatakan di sini bahawa Patani juga tidak terlepas daripada dijajah, bukan oleh bangsa Barat tetapi oleh Siam. Semua penjajah yang tersebut adalah bukan agama Islam kerana mereka telah menjajah negeri Islam.
Oleh itu, menurut Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada sambungan kalimat di atas bahawa "jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ..." berperang atau jihad terhadap mereka. Bangsa-bangsa yang telah menjajah dunia Melayu, adalah bukan beragama Islam.
Oleh itu fenomena yang berlaku sekarang, tuduhan umat Islam sebagai pengganas adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak terdapat dalam sejarah bahawa bangsa-bangsa yang beragama Islam datang menjadi penjajah di dunia Melayu.
Sebenarnya bangsa-bangsa penjajah itulah yang layak dilabelkan sebagai pengganas atau terrorist atau penzalim. Gelaran tersebut terdapat dua golongan yang sedang bermusuhan, yang pertama ialah pengganas yang sedang berkuasa (pemerintah) dan yang kedua ialah pengganas yang tidak berkuasa (rakyat).
Perjuangan jihad yang pernah dilakukan oleh ulama kita seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan lain-lain tidak dapat disamakan dengan kedua-dua golongan pengganas yang tersebut di atas, kerana jihad Islam adalah cukup jelas berdasarkan perintah daripada Allah dan para Rasul-Nya. Siapa saja yang berjihad menurut perintah Allah dan Rasul-Nya adalah benar, tidak terdapat keraguan di dalamnya.
Oleh itu, wajib dipertahankan kebenaran dan kesuciannya daripada pentafsiran-pentafsiran yang tidak betul disusun demikian rapi oleh pihak-pihak tertentu yang telah merasa lazat makanan dan minuman segar tetapi beracun yang mereka peroleh dari musuh-musuh Islam.
Mengenai membuat persiapan sebagai benteng pertahanan dapat kita ketahui dari kalimat beliau, "Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia ...".
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyentuh pula tentang persiapan persenjataan dengan sambungan kalimatnya "dan ditaruhkan senjatanya" maksudnya bahawa dalam benteng pertahanan perlulah ada tersimpan persenjataan yang cukup dan siap digunakan apabila diperlukan.
Patriotik bangsa adalah sangat diperlukan, yang beliau gambarkan pada sambungan kalimatnya "dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu". Kalimat ini dapat dihubungkaitkan dengan "ilmu silat" kerana orang Melayu yang sanggup melawan musuh pada zaman itu perlu mempunyai ketangkasan.
Ketangkasan dalam bentuk fizik adalah mempelajari ilmu silat. Dan tidak dapat dinafikan diperlukan "kekuatan dalaman" atau "mental" atau "rohani". Baik Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani mahu pun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga pernah mengijazahkan wirid-wirid pertahanan diri untuk menghadapi musuh dalam peperangan.
Wirid pertahanan diri Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani
Untuk memantapkan keyakinan diri menghadapi jihad, dalam karyanya berjudul Mulhik fi Bayanil Fawa'id an-Nafi'ah fil Jihadi fi Sabilillah atau judul terjemahan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri iaitu "Suatu Perhubungan Pada Menyatakan Akan Beberapa Faedah Di Dalam Perang Sabilillah", beliau membahagi dalam risalah tersebut kepada empat bahagian, iaitu:
1. Faedah Yang Pertama Pada Menyatakan Ayat Quran Yang Jadi 'Azimat Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah, Dan Peliharaan Yang Menegahkan Daripada Kejahatan Orang Kafir.
2. Faedah Yang Kedua Pada Menyatakan Doa Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah Dan Lainnya.
3. Faedah Yang Ketiga Pada Menyatakan Doa Yang Membinasakan Bagi Segala Seteru, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Seteru.
4. Faedah Yang Keempat Pada Menyatakan Doa Membinasakan Seteru, Dan Segala Kafir, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Mereka Itu.

Salah satu amalan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah diterima oleh pahlawan Mat Kilau. Mengenai ini termaktub dalam Kitab Mat Kilau, cetakan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, 1970, hlm. 23, iaitu "Ini doa diambil daripada Sheikh Abdus Shamad Palembang, siapa yang mengamalkan doa ini nescaya tidak mengenai padanya pedang, atau panah, atau segala rupa kejahatan dari seteru ... "Yang disebut dalam Kitab Mat Kilau itu memang termaktub dalam karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut yang beliau tempatkan pada Faedah Yang Kedua.
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah menterjemahkan wirid untuk perang itu daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Dalam empat buah karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga membicarakan wirid yang sama, di antaranya dalam kitab Mun-yat al-Mushalli. Selengkapnya lihat Mun-yat al-Mushalli yang telah penulis transliterasi (lihat terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1424 H/2003 M hlm. 96-98).
Walau bagaimanapun, tidak terdapat terjemahan wirid itu oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Perlu juga penulis sentuh di sini bahawa dalam terjemahan wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut ada hubungkait dengan persilatan. Bahawa ilmu silat yang pernah penulis pelajari adalah melalui tiga jalan, iaitu:
*Belajar secara fizik di gelanggang.
*Belajar wirid-wirid yang boleh mendatang gerak dengan sendirinya.
*Mengabungkan pelajaran fizik dan wirid.

Pada Faedah Yang Keempat wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani terdapat satu doa yang sama dengan yang diamalkan dalam Silat Al-Mu'azat. Walaupun dalam Silat Al-Mu'azat tidak mempelajari gerak fizik, tetapi apabila mengamalkan wirid, maka gerak fizik akan datang dengan sendirinya.
Silat Al-Mu'azat pernah dikembangkan di Johor oleh Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam tahun 1970-an. Wirid yang diamalkan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, yang sama dengan amalan dalam Silat Al-Mu'azat itu, lebih lengkap ditulis oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab Ward az-Zawahir (lihat hlm. 189).

Kesimpulan dan penutup

Dari semua yang telah dibicarakan di atas penulis berpendapat bahawa:
a.Seni dan budaya persilatan diajarkan dalam dua bentuk, iaitu dalam gerak fizik dan kerohanian.
b.Ilmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Sebaliknya tidak dapat dinafikan terdapat juga yang menggunakan mantera, jampi, serapah, dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.
c.Ulama-ulama Nusantara yang terlibat dalam jihad fi sabilillah mempunyai asas ilmu menggunakan senjata. Mereka memiliki ilmu ketahanan diri yang bersambung dari satu guru ke satu guru hingga sampai kepada pahlawan-pahlawan Islam terdahulu bahkan sumber amalan ada yang berasal dari Rasulullah SAW sendiri.

d. Ulama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fi sabilillah demi untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari dijajah oleh bangsa yang bukan Islam adalah wajib diteruskan secara bersambung dari satu generasi ke generasi yang berikutnya.

Sekianlah yang dapat disampaikan pada ruangan kali ini, mudah-mudah kita dapat menghidupkan seni dan budaya yang dibenarkan syarak dan mengetepikan apa saja seni dan budaya yang bertentangan dengan syarak.
Mudah-mudahan hanya pemikiran ulama yang betul saja yang menjadi ikutan dan pemikiran yang tiada betul walau dari siapa pun datangnya supaya dihindari oleh-Nya.
Sumber: Koleksi artikel ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH, Akhbar Utusan Malaysia

NASIHAT TOK GURU

Assalamualaikum mula pertama
Pak Wa ucapkan kepada anak-anak semuanya
Nasihat ini sangatlah berguna
Supaya jangan jadi bencana

Pak Wa tak lama lagi akan pergi
Mengikut keadaan Pak Wa ini
Menunaikan perintah panggilan Ilahi
Tiadalah kita berjumpa lagi


Sebelum dunia meninggalkan kita
Bersiap sedialah yang mana ada
Janganlah kita menjadi leka
Hidup ini seketika sahaja

Di dalam hidup ibadah dikerjakan
Sebagai bekalan kita sediakan
Harta benda semuanya ditinggalkan
Yang dibawa hanya kain kapan

Di dalam kubur kita disoalkan
Segala nikmat-nikmat yang Tuhan berikan
Adakah kita membuat amalan
Dimanakah nikmat-nikmat itu kita gunakan?


Kita tidak menjawab soalan
Melainkan kita terhungap-hungapan
Akhirnya Malaikat membawakan belantan
Dipalunya kita tidak menaruh belas kasihan

Ketika itu menyesal pun tiba
Mengeluh tidak terkira-kira
Tiada daya dan tiada upaya
Terimalah sahaja azab sengsara


Ayuhai anak-anak terimalah nasihat ibu bapamu
Supaya selamat dari bencana
Renung dan fikirkan terlebih dahulu
Supaya kamu jadi berguna


Belajarlah bersungguh-sungguh jangan berhenti
Ilmu pengetahuan perlu dicari
Hidup kamu tidaklah rugi
Untuk menolong dirimu sendiri

Jagalah baik-baik bagi dirimu
Mengerjakan perintah Allah dan Rasulmu
Kepada kedua ibu bapamu
Tidak ketinggalan kepada gurumu

Mulut kita perlu dijaga
Jangan mengumpat serta mengata
Tuduh menuduh syak dan wasangka
Supaya teredar dari dosa


Kebaikan perlu dicari
Diutamakan bagi diri sendiri
Jangan terlibat hasad dan dengki
Kerana orang lain kita curigai

Diri sendirilah utama dilentur
Supaya tidak menjadi takbur
Akhirnya ibadah kita menjadi hancur
Kerana yang dikatakanya itu sentiasa bersyukur

Janganlah kita membuat kesilapan
Sedangkan ibadah kita tunaikan
Dosa pada Allah, Allah ampunkan
Dosa sesama Islam payah dimaafkan

Kita berdoa kepada Allah supaya dikabulkan
Yang haram berluas-luas kita kerjakan
Sedangkan yang halal kita tinggalkan
Demikian inilah harus kita hindarkan

Beredialah kamu untuk mati
Sebelum kamu menghadapi mati
Sediakan bekalan diri sendiri
Orang lain janganlah dikhuatiri

Sebagaimana firman Allah jua
Kepada sesiapapun Dia tidak memaksa
Mentaatinya dengan paksaan kepada mereka
Pilihlah yang mana disukainya tanpa dipaksa

Apalah gunanya kita susahkan
Terpekik terlolong kita laungkan
Diri sendiri kita lupakan
Orang lain yang kita bimbangkan

Dunia ini satu perhiasan sahaja
Sebagai tempat kita menggembara
Menuju ke kubur tempat awalnya
Akhirat kelak penghabisan jalanya

Bersedialah kita sebelum terlambat
Membuat kebajikan serta amal ibadat
Sebagai bekalan supaya selamat
Senang di dunia senanglah di akhirat

Dunia ini palsu belaka
Seperti racun yang sangat bisa
Dunia juga mengutuk kita
Kalau kita memuji padanya

Orang yang berakal sahaja meninggalkan dunia
Sebelum dunia meninggalkanya
Janganlah kita mengejar dunia
Dunia tetap meninggalkan kita

Di Yaumil Mahsyar kita tertanya-tanya
Melihat seorang perempuan terlalulah tuanya
Badanya bongkok berlipat tiga
Lidahnya terjelir menjela-jela

Malaikat pun lalu berkata
Inilah dunia terlalu tuanya
Merasa jijik kita melihatnya
Tetapi inilah yang kita puja

Kepada Malaikat Allah perintahkan
Di dalam neraka disuruh masukkan
Dunia menggeletar kerana ketakutan
Memohon kepada Allah yang mencintainya itu sama dibuangkan

Cubalah anak mengingatkan kembali
Ibu mengandung 9 bulan 10 hari
Menjaganya pula tersangatlah rapi
Kerana takut kalau apa yang terjadi

Bila sampai tempoh waktunya
Gelisahlah ibu kerana takutnya
Mengeluh kesakitan tidak terkiranya
Merasai hilang akan nyawanya

Setelah itu anak dilahirkan
Lalu dicuci serta dibersihkan
Kemudian anak diAzan dan diIqamatkan
Barulah ibu kembali perasan

Perasaan ibu serta bapanya
Menatap anak yang baru ada
Alangkah sedih bercampur gembira
Kerana mengenangkan semua peristiwa

Sehari demi sehari
Mulailah senyum menghisap jari
Kasihnya ibu tidak terperi
Diangkat dicium bertubi-tubi

Begitulah kasih ibu dan bapanya
Tidak berenggang dengan anaknya
Dimandi dibedung serta dibedaknya
Perutnya lapar lalu disusukanya

Bila saja menangis anaknya
Resahlah ibunya tidak terkira
Bermacam helah serta cara
Supaya anak tenteram semula

Lalu didakap serta dinyanyikan
Urusan lain lalu ditinggalkan
Kain yang basah, kering di badan
Tidak menentu waktu tidur dan makan

Anak menangis tidak berhenti
Ibu dan bapa susahnya hati
Puaslah dipujuk kesana kemari
Lalu mengikutkan segala yang dikehendaki

Tujuan orang tuanya baik belaka
Menyelamatkan anak berbagai cara
Siang dan malam tidak mengira
Mencari makan kerana anak-anaknya

Bila anak sudah remaja
Mulalah ia melupai semuanya
Seperti ia sudah sedia ada
Kesusahan orang tuanya tidak dikiranya

Kadang-kadang orang tuanya mengeluh
Memikirkan anak di zaman sekarang
Sedikit bercakap jadi bergadoh
Seperti singa hendak menyerang

Selalu orang tuanya berkecil hati
Melihatkan anak-anaknya begitu pekerti
Rasanya nak jauh membawa diri
Tidak mahu kembali lagi

Anak-anak bertindak terburu-buru
Tidak memikirkanya sebelum itu
Kalaulah tiada bapa dan ibu
Dimanakah tempat hendak mengadu?

Orang tuapun menangis tersedu-sedu
Memikirkan anak yang durjana itu
Kerana hatinya merasa pilu
Tiada siapapun mengambil tahu

Ayuhai anak-anak sebelum terlambat
Hendaklah dengar semua nasihat
Walau banyak mana kamu beribadat
Sebab sedikit semuanya ranap

Dosa kepada ibu bapa besar sekali
Telahpun tertulis sebelum Azali
Di Akhirat kelak barulah diketahui
Menerima azab siksa bertubi-tubi

Seribu tahun kamu beribadat
Tidaklah apa jadi gunanya
Pada orang tua membuat khianat
Di dalam nerakalah tempat kediamanya

Dengarlah nasihat orang tuamu
Semuanya itu untuk kebaikan
Janganlah kamu merasa jemu
Dunia dan akhirat Allah selamatkan

Berbaik-baik mahu diamalkan
Tata tertib budi diamalkan
Orang tua mahu dihormatkan
Supaya kamu beroleh bahagia


Anak-anak yang hormat kepada orang tuanya
Sopan dan santun semua dijaganya
Lemah lembut budi bicaranya
Di akhirat kelak di Syurgalah tempatnya

Mereka bersuka-suka sepanjang hari
Di dalam Syurga bersama bidadari
Mengunjungi orang tuanya sepanjang hari
Merasakan tak puas di dalam hati

Begitulah hidupnya di dalam Syurga
Bagi anak-anak yang berbahagia
Bersama orang tuanya bersuka-suka
Menilik seharian suami isterinya

Demikian itulah nasihat diberi
Supaya kita hidup tidak dilalaikan
Nikmat hidup mahu dicari
Di Akhirat kelak kamu dimuliakan


Selesailah sudah Pak Wa nasihatkan
Kepada anak-anak murid dan murid sekalian
Yang mana tersilap harap dimaafkan
Nasihat Pak Wa sila panjangkan

Hamba Allah…
Hamidin Kassim (Pak Wa)