Buku  di atas adalah nukilan Allahyarham Pak Wa...
Buku berkaitan dengan Selawat Nabi. Semoga pembaca dapat manfaat dari buku ini dan semoga manfaat itu menjadi amal jariah buat allahyarham, Al Fatihah...

KENANGAN LALU, HARAPAN KINI-Malaysiakini


Melalui ruangan ini saya ingin menyampaikan pengalaman dan pandangan melalui menulis dan bercerita mengenai Silat Melayu masa kini di Malaysia. Terdapat banyak perguruan persilatan yang dapat kita banggakan dan ada juga silat yang tidak seperti silat.

Dari pengalaman saya semasa tinggal di Kuala Terengganu, Terengganu dalam sekitar tahun 90an, boleh dikatakan setiap bangsal silat yang diketahui akan saya jengahinya. Ketika itu latihan silat sedang dijalankan. Ramai guru-guru silat yang saya temui di bangsal silat tersebut menjadi kenalan. Boleh dikatakan setiap bangsal silat yang saya pernah hadir akan menjemput saya jika ada majlis perlimau atau pun khatam silat dijalankan.

Saya ini tidaklah pandai bersilat, cuma minat terhadap keunikan, kecantikan dan kehebatan pergerakan buah. Kerana minat itu, membuatkan saya selalu ke bangsal silat.

Dalam pada itu, ada juga silat yang telah maju dan diangkat kedudukan ke peringkat yang lebih tinggi dan dikenali ramai umpamanya Seni Silat Pagar Ruyong di Kuala Ibai , Sepelet Gunung Jati di Kampung Laut dan Baji Bumi Gerakan Suci di Bukit Payong. Semuanya di sekitar Kuala Terengganu.

Dalam keseronokan menziarah bangsal silat tersebut, terdapat sedikit kesedihan dirasakan kerana ada juga guru-guru silat yang mempunyai ilmu persilatan yang hidupnya umpama kais pagi makan pagi.

Dalam mereka mengembangkan ilmu perguruan persilatan mereka, apa yang saya lihat, mereka-mereka ini selalu dijemput ke Majlis Khatam Silat dan bersilat dengan murid-murid yang hendak dikhatamkan dalam majlis tersebut.

Guru-guru silat ini, saya lihat mereka tinggal di pedalaman-pedalaman kampung. Pendapatan mereka bergantung dengan kerja kampung. Pernah satu ketika, saya bertemu secara kebetulan mereka yang hendak ke Kuala Lumpur untuk membuat pertunjukkan kebudayaan.
Dari mulut mereka sendiri bercerita bahawa mereka membawa bekalan wang yang tidak banyak. Tetapi oleh kerana minat yang begitu mendalam terhadap seni silat, mereka sanggup ke Kuala Lumpur untuk tujuan itu, dengan meninggalkan isteri dan anak-anak mereka di kampung. Saya tidak pula bertanya apa pula bekalan termasuk berapa wang yang ditinggalkan kepada keluarga mereka.
Dari sudut hati kecil tertanya, mengapa mereka jadi begitu? Kenapa tiada yang tahu menilai bahawa ilmu persilatan yang mereka miliki itu sungguh begitu berharga dan bernilai tinggi? Jika bukan mereka (golongan guru silat) sejarah dunia persilatan akan menjadi mitos!
Guru silat umpama pemegang amanah, umpama jambatan dan potret bangsa Melayu. Atas kesedaran ini diri guru silat memikul tanggungjawab dan seterusnya memainkan peranan dalam memelihara dan menyebarkan ilmu bangsa agar ia tidak pupus.
Di sini tidak payahlah saya sebutkan siapa mereka yang saya maksudkan itu. Mungkin ketika ini ada di antara mereka yang telah meninggal dunia. Dari pandangan saya, penghargaan setiap pesilat yang bergelar murid terhadap seseorang guru mereka tidak mereka hargai. Maaf jika ada yang terasa dan cuba renungkan. Kalau kita fikirkan seseorang itu sanggup membayar wang tuisyen anak mereka terhadap sesuatu mata pelajaran itu dengan nilai ringgit yang tinggi, apa salahnya mereka menghargai sumbangan guru yang mengajar silat.
Adakah salah, dengan mereka memberi lebih sedikit sagu hati terhadap masa yang diluangkan oleh guru silat terhadap anak muridnya.
Memanglah kita biasa dan selalu mendengar bahawa guru yang mengajar silat selalunya bersikap ikhlas. Lebih-lebih lagi kalau guru itu mengajar anak-anak bangsa Melayu mengaji Al Quran. Tidak seperti seni beladiri yang lain, mereka mempunyai dojo (gelanggang) mahupun tempat latihan serta bangunan yang melambangkan kemegahan persatuan mereka.
Persatuan beladiri sebegini mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh tetapi tidak seperti perguruan silat yang dimiliki oleh orang Melayu ibarat hidup segan mati tak mahu.
Sebagai contoh, bila datang musim perayaan, guru silat terpaksa melayani anak-anak murid yang datang menziarahinya. Maklum sajalah kalau guru silat itu yang hanya bekerja sebagai buruh kampung bagaimana beliau hendak melayan makan minum murid-murid itu.
Namun ada juga anak-anak murid tersebut yang berfikiran panjang, yang datang dengan membawa buah tangan kepada guru mereka. Kisah sebaliknya juga berlaku. Perkara begini pernah saya lihat dan tempuhi di hadapan mata saya sendiri… Tetapi, sebagai seorang guru, beliau tetap melayan kedatangan anak-anak muridnya. Apa yang ada dihidangkan. Bibir terus mengukir senyum.
Perguruan-perguruan persilatan yang terdapat di kampung-kampung biasnya tidak mempunyai susunan silibus yang teratur. Ini mungkin menjadi salah satu penyebab perkembangan atau martabat sesuatu perguruan atau persilatan di kampung berada di tahap yang paling rendah (pada kacamata sesetengah pihak).
Kalau kita tahu, mengapa orang Arab atau orang Negara Barat sanggup datang ke Malaysia mempelajari ilmu silat sebagai contohnya Silat Gayong dan juga silat-silat lain, kita akan memahami kenapa guru-guru silat di kampung sanggup berlapar.
Kita juga dapat melihat perguruan silat dari Indonesia telah lama bertapak di luar negara. Begitu juga dari Negara Jepun seperti Karate dan Akido dan Tae Kwan Do dari Korea.
Kita lihat perguruan persilatan yang terdapat di kampung-kampung tidak dapat bertahan lama. Apabila dapat berkembang dan dapat menarik ramai ahli, mulalah perasaan irihati timbul antara perguruan. Kadangkala setelah menjadi masyhur terdapat pula fahaman sesat dan melancarkan serangan terhadap kerajaan dan Yang Di Pertuan Agong.
Ada juga mengakui silat dia sahaja yang asli dan yang lain tidak. Tetapi apabila dibaca sejarah silat tersebut ianya datang dari negeri Arab. Yang mana satu betul pun tidak dapat diketahui. Dari pengamatan saya, buah-buah silat yang terdapat di Malaysia dan juga buah seni beladiri dari luar negara mempunyai banyak persamaan.
Cuba kita tonton rancangan gusti di tv, buah tangkap dan kilas banyak persaman dengan buah silat . Ini kerana saya selalu juga mengikuti seminar yang dianjurkan oleh perguruan silat dalam dan juga yang datang dari luar negara.
Apa yang saya lihat, orang dari negara Barat apabila sesuatu perkara yang mereka pelajari, dipelajari dengan bersungguh-sungguh dan dibuat kajian. Dari pengalaman saya, cerita P Ramlee yang bertajuk 6 Jahanam telah memaparkan kaedah permainan tekpi atau Sai( kalau tidak silap saya dalam istilah karate).
Kaedah yang sama juga diguna pakai oleh Polis DiRaja Malaysia(PDRM) dalam penggunaan T baton. Penggunaan T baton telah lama dipakai oleh polis di negara barat.
Untuk mengenakan bayaran bulanan bagi aktiviti senaman dan kelas silat amat payah berbanding dengan kelas senaman aerobik. Alasan mereka bagi kerana kelas silat tiada muzik dan tidak menyeronokkan.
Apa yang saya rasakan masyarakat Melayu masa kini masih memerlukan muzik untuk banyak berkhayal. Pukulan gendang dan tiupan serunai masih diperlukan jika seseorang murid itu telah pandai gerak tari dan langkah silat.
Kita tidaklah menolak semua itu. Ilmu yang dipelajari sangat diperlukan. Tapi penghargaan terhadap guru-guru silat tidak dihiraukan.
Displin ahli-ahli silat sekarang tidak seperti zaman dahulu, taat akan perintah agama dan ikrar perguruan. Ramai yang terjebak di dalam kegiatan yang tidak sihat, tidak bermoral, menjadi penagih dadah dan juga terlibat dalam kegiatan jenayah.Kadangkala sanggup menjual nama persatuan atau pertubuhan untuk mengelakkan diri dari ditangkap.
Displin diri sebagai ahli silat tidak seperti orang yang beragama Islam yang mengamalkan ajaran Islam. Adakah anda terperanjat dengan dakwaan itu atau sememangnya ia adalah benar. Dari tinjuan, saya lihat ramai ahli silat tidak berminat menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang agama bagi menguatkan iman dalam menghadapi cabaran dan juga perkara maksiat yang selalu datang menggoda iman.
Dengan ada pengetahuan agama yang menebal sedikit sebanyak dapat menghindari diri dari kancah maksiat.
Orang silat, dalam apa jua pun perlu dizahirkan dan perlu berdiri dengan megah. Kehadiran pesilat sewajarnya dilihat sebagai penyumbang pelbagai aspek. Mereka umpama pembantu tentera dalam menjadi benteng negara. Merekalah pembantu polis dalam turut membantu mengatasi jenayah dan merekalah pengaman kerana mereka boleh terlibat dalam pelbagai aktiviti-aktiviti sihat untuk masyarakat.
Jangan ilmu silat disalahguna dan jangan pesilat dijadikan teman sekejap untuk kepentingan diri. Kerana dengan meramaikan pesilat dalam negara ini, ia secara tidak langsung akan menakutkan musuh Negara baik di dalam ataupun luar negara.
Sebagai contoh, seseorang penjenayah jika mengetahui rahsia beladiri, tentunya mereka akan berfikir berpuluh kali untuk menjadikan jenayah sebagai karier. Bila kedudukan silat dikhaskan, budaya silat pula dijadikan amalan, pastinya yang ingin menjadikan Malaysia musuh mereka, terasa terancam dengan sendiri.
Bila displin budaya diamal sebagai gaya hidup, pasti pihak luar akan turut menghormati pengamalnya seperti rakyat Jepun atau Korea, mereka maju kerana terus mengamalkan budaya tradisi. Budaya itu bukan membuat seseorang itu kuno tetapi lebih bertamadun kerana ia mengenal displin, hormat dan ingin berjaya.
Sekali lagi saya berharap kita sama-sama memikirkan peranan guru silat, pesilat dan Negara dalam isu ini.Saya juga memohon maaf jika ada kata-kata yang menyinggung dan menghiriskan perasaan. Artikel ini adalah pandangan saya yang mahukan perubahan. Wassalam