Pada zaman yang serba moden ini nampaknya telah banyak pusat-pusat rawatan tradisional berdaftar yang wujud untuk merawat sakit-sakit yang tidak dapat diselesaikan oleh perubatan konvensional seperti histeria, gangguan makhluk halus, santau dan lain-lain. Maka tumbuhlah bermacam-macam Darul yang bertujuan untuk merawat sakit-sakit tersebut, sehingga timbul perbalahan antara perawat-perawat tersebut yang mendakwa kaedah mereka lebih Islamik berbanding perawat yang lain. Sebenarnya perubatan tradisional ini telah pun wujud sejak berzaman dulu dan tidaklah pula dikomersialkan. Cuma sekarang ini kebanyakan daripada kita kurang mempercayainya kerana zaman telah berubah dan lebih percaya kepada perubatan moden. Tambahan pula banyak terjadi kes dimana pesakit yang ingin berubat secara tradisional telah ditipu oleh perawat, dicabul dan sebagainya.
Samada sedar atau tidak, sebenarnya perubatan tradisional di dalam persilatan ini beriringan dengan silat itu sendiri. Hampir semua guru-guru silat yang ditemui mahir di dalam bidang perubatan ini. Sebagai contoh, seseorang dikatakan Panglima apabila dapat memimpin orang-orang lain dibawahnya dan mempunyai kemahiran yang pelbagai(ilmu agama, perubatan dll) di samping ketangkasan dan kehandalan di dalam pertarungan. Pendekar pula lebih kepada seseorang yang dikatakan handal di dalam bab pertarungan sahaja.
Dalam Perguruan Halilintar, kaedah perubatan bukanlah sesuatu yang asing. Namun perubatan bukanlah matlamat utama silat ini, hanya tambahan sahaja.Namun bagi yang beramal kadangkala kepakaran mengubat mereka lebih tinggi daripada silat.