Buku  di atas adalah nukilan Allahyarham Pak Wa...
Buku berkaitan dengan Selawat Nabi. Semoga pembaca dapat manfaat dari buku ini dan semoga manfaat itu menjadi amal jariah buat allahyarham, Al Fatihah...

NASIHAT TOK GURU

Assalamualaikum mula pertama
Pak Wa ucapkan kepada anak-anak semuanya
Nasihat ini sangatlah berguna
Supaya jangan jadi bencana

Pak Wa tak lama lagi akan pergi
Mengikut keadaan Pak Wa ini
Menunaikan perintah panggilan Ilahi
Tiadalah kita berjumpa lagi


Sebelum dunia meninggalkan kita
Bersiap sedialah yang mana ada
Janganlah kita menjadi leka
Hidup ini seketika sahaja

Di dalam hidup ibadah dikerjakan
Sebagai bekalan kita sediakan
Harta benda semuanya ditinggalkan
Yang dibawa hanya kain kapan

Di dalam kubur kita disoalkan
Segala nikmat-nikmat yang Tuhan berikan
Adakah kita membuat amalan
Dimanakah nikmat-nikmat itu kita gunakan?


Kita tidak menjawab soalan
Melainkan kita terhungap-hungapan
Akhirnya Malaikat membawakan belantan
Dipalunya kita tidak menaruh belas kasihan

Ketika itu menyesal pun tiba
Mengeluh tidak terkira-kira
Tiada daya dan tiada upaya
Terimalah sahaja azab sengsara


Ayuhai anak-anak terimalah nasihat ibu bapamu
Supaya selamat dari bencana
Renung dan fikirkan terlebih dahulu
Supaya kamu jadi berguna


Belajarlah bersungguh-sungguh jangan berhenti
Ilmu pengetahuan perlu dicari
Hidup kamu tidaklah rugi
Untuk menolong dirimu sendiri

Jagalah baik-baik bagi dirimu
Mengerjakan perintah Allah dan Rasulmu
Kepada kedua ibu bapamu
Tidak ketinggalan kepada gurumu

Mulut kita perlu dijaga
Jangan mengumpat serta mengata
Tuduh menuduh syak dan wasangka
Supaya teredar dari dosa


Kebaikan perlu dicari
Diutamakan bagi diri sendiri
Jangan terlibat hasad dan dengki
Kerana orang lain kita curigai

Diri sendirilah utama dilentur
Supaya tidak menjadi takbur
Akhirnya ibadah kita menjadi hancur
Kerana yang dikatakanya itu sentiasa bersyukur

Janganlah kita membuat kesilapan
Sedangkan ibadah kita tunaikan
Dosa pada Allah, Allah ampunkan
Dosa sesama Islam payah dimaafkan

Kita berdoa kepada Allah supaya dikabulkan
Yang haram berluas-luas kita kerjakan
Sedangkan yang halal kita tinggalkan
Demikian inilah harus kita hindarkan

Beredialah kamu untuk mati
Sebelum kamu menghadapi mati
Sediakan bekalan diri sendiri
Orang lain janganlah dikhuatiri

Sebagaimana firman Allah jua
Kepada sesiapapun Dia tidak memaksa
Mentaatinya dengan paksaan kepada mereka
Pilihlah yang mana disukainya tanpa dipaksa

Apalah gunanya kita susahkan
Terpekik terlolong kita laungkan
Diri sendiri kita lupakan
Orang lain yang kita bimbangkan

Dunia ini satu perhiasan sahaja
Sebagai tempat kita menggembara
Menuju ke kubur tempat awalnya
Akhirat kelak penghabisan jalanya

Bersedialah kita sebelum terlambat
Membuat kebajikan serta amal ibadat
Sebagai bekalan supaya selamat
Senang di dunia senanglah di akhirat

Dunia ini palsu belaka
Seperti racun yang sangat bisa
Dunia juga mengutuk kita
Kalau kita memuji padanya

Orang yang berakal sahaja meninggalkan dunia
Sebelum dunia meninggalkanya
Janganlah kita mengejar dunia
Dunia tetap meninggalkan kita

Di Yaumil Mahsyar kita tertanya-tanya
Melihat seorang perempuan terlalulah tuanya
Badanya bongkok berlipat tiga
Lidahnya terjelir menjela-jela

Malaikat pun lalu berkata
Inilah dunia terlalu tuanya
Merasa jijik kita melihatnya
Tetapi inilah yang kita puja

Kepada Malaikat Allah perintahkan
Di dalam neraka disuruh masukkan
Dunia menggeletar kerana ketakutan
Memohon kepada Allah yang mencintainya itu sama dibuangkan

Cubalah anak mengingatkan kembali
Ibu mengandung 9 bulan 10 hari
Menjaganya pula tersangatlah rapi
Kerana takut kalau apa yang terjadi

Bila sampai tempoh waktunya
Gelisahlah ibu kerana takutnya
Mengeluh kesakitan tidak terkiranya
Merasai hilang akan nyawanya

Setelah itu anak dilahirkan
Lalu dicuci serta dibersihkan
Kemudian anak diAzan dan diIqamatkan
Barulah ibu kembali perasan

Perasaan ibu serta bapanya
Menatap anak yang baru ada
Alangkah sedih bercampur gembira
Kerana mengenangkan semua peristiwa

Sehari demi sehari
Mulailah senyum menghisap jari
Kasihnya ibu tidak terperi
Diangkat dicium bertubi-tubi

Begitulah kasih ibu dan bapanya
Tidak berenggang dengan anaknya
Dimandi dibedung serta dibedaknya
Perutnya lapar lalu disusukanya

Bila saja menangis anaknya
Resahlah ibunya tidak terkira
Bermacam helah serta cara
Supaya anak tenteram semula

Lalu didakap serta dinyanyikan
Urusan lain lalu ditinggalkan
Kain yang basah, kering di badan
Tidak menentu waktu tidur dan makan

Anak menangis tidak berhenti
Ibu dan bapa susahnya hati
Puaslah dipujuk kesana kemari
Lalu mengikutkan segala yang dikehendaki

Tujuan orang tuanya baik belaka
Menyelamatkan anak berbagai cara
Siang dan malam tidak mengira
Mencari makan kerana anak-anaknya

Bila anak sudah remaja
Mulalah ia melupai semuanya
Seperti ia sudah sedia ada
Kesusahan orang tuanya tidak dikiranya

Kadang-kadang orang tuanya mengeluh
Memikirkan anak di zaman sekarang
Sedikit bercakap jadi bergadoh
Seperti singa hendak menyerang

Selalu orang tuanya berkecil hati
Melihatkan anak-anaknya begitu pekerti
Rasanya nak jauh membawa diri
Tidak mahu kembali lagi

Anak-anak bertindak terburu-buru
Tidak memikirkanya sebelum itu
Kalaulah tiada bapa dan ibu
Dimanakah tempat hendak mengadu?

Orang tuapun menangis tersedu-sedu
Memikirkan anak yang durjana itu
Kerana hatinya merasa pilu
Tiada siapapun mengambil tahu

Ayuhai anak-anak sebelum terlambat
Hendaklah dengar semua nasihat
Walau banyak mana kamu beribadat
Sebab sedikit semuanya ranap

Dosa kepada ibu bapa besar sekali
Telahpun tertulis sebelum Azali
Di Akhirat kelak barulah diketahui
Menerima azab siksa bertubi-tubi

Seribu tahun kamu beribadat
Tidaklah apa jadi gunanya
Pada orang tua membuat khianat
Di dalam nerakalah tempat kediamanya

Dengarlah nasihat orang tuamu
Semuanya itu untuk kebaikan
Janganlah kamu merasa jemu
Dunia dan akhirat Allah selamatkan

Berbaik-baik mahu diamalkan
Tata tertib budi diamalkan
Orang tua mahu dihormatkan
Supaya kamu beroleh bahagia


Anak-anak yang hormat kepada orang tuanya
Sopan dan santun semua dijaganya
Lemah lembut budi bicaranya
Di akhirat kelak di Syurgalah tempatnya

Mereka bersuka-suka sepanjang hari
Di dalam Syurga bersama bidadari
Mengunjungi orang tuanya sepanjang hari
Merasakan tak puas di dalam hati

Begitulah hidupnya di dalam Syurga
Bagi anak-anak yang berbahagia
Bersama orang tuanya bersuka-suka
Menilik seharian suami isterinya

Demikian itulah nasihat diberi
Supaya kita hidup tidak dilalaikan
Nikmat hidup mahu dicari
Di Akhirat kelak kamu dimuliakan


Selesailah sudah Pak Wa nasihatkan
Kepada anak-anak murid dan murid sekalian
Yang mana tersilap harap dimaafkan
Nasihat Pak Wa sila panjangkan

Hamba Allah…
Hamidin Kassim (Pak Wa)

BAGINDA ZAHARUDDIN @ PANGLIMA HITAM

Demikianlah namanya yang tersiar di dalam berita suratkhabar. Baginda belayar ke Bandar Melaka dengan keluarga dan rakan rakan. Tujuanya untuk bersama-sama dengan penduduk Melaka menunaikan Haji ke Mekah.
Baginda singgah di Padang Muar, lalu menemui orang kaya Bauk namanya. Dalam pertemuan ini orang kaya Bauk meminta kerjasama Baginda Zaharudin untuk menghapuskan lanun-lanun di Selat Melaka dan mereka berjaya melakukanya.
Maka kedengaranlah olehnya di sebuah pulau didiami oleh seorang Tok Alim yang luas pengetahuanya di dalam bidang agama. Kemudian Baginda meminta izin untuk tinggal bersama-sama untuk mendalami ilmu agama. Di dalam ketika itulah Baginda telah mendirikan rumahtangga dengan anak gadis Tok Alim itu.

Pada satu ketika, Baginda dan rakan-rakanya pergi memancing ikan dengan menggunakan perahu kecil dan tidak membawa apa-apa senjata sekalipun. Tiba-tiba mereka itu dikepong oleh saki baki lanun-lanun itu dengan menyeru supaya menyerah diri. Tetapi sebagai seorang Panglima pantang menyerah sebelum ajal lalu perahu mereka dilanggar oleh perahu lanun yang lebih besar perahunya tersebut bertalu-talu sehingga tenggelam. Salah seorang dari rakan Baginda terselamat lalu memberitahu penduduk Kampung Sakai.
Orang kaya Bauk dan orang-orangnya pergilah ke pantai tetapi hanya dapat melihat mayat-mayat itu hanyut dibawa arus ke tengah dan tidak dapat ditolong kerana hari sudah malam.
Setelah beberapa hari barulah dapat ditemui mayat yang tersangkut pada pohon kayu tuak, kayu yang kebiasaanya dibuat gasing. Yang anehnya mayat itu tidak berbau busuk dan reput seolah-olah kematian baru saja berlaku. Salah satu dari mayat tersebut dikenali sebagai mayat Baginda Zaharuddin. Maka mayat Baginda menjadi misteri kerana kematianya itu dengan mempunyai lidah yang panjang, hitam dan berbulu pula. Baginda dimakamkan di tanah perkuburan Parit Sakai.
Makam itu dianggap oleh penduduk situ Makam Panglima Lidah Hitam. Makam itu masih dijaga oleh pihak dari Muzium Negara dan dikelilingi oleh pagar berduri. Umur Baginda tatkala itu 37 tahun. Tujuan sebenarnya hendak menemui orang kaya Kelang untuk bersama-sama menunaikan Haji di Mekah.
Paling akhir anak cucu Baginda Zaharuddin datang ke Tanah Melayu pada tahun 1928. Namanya ialah Abdul Molok Idham dan meninggal dunia tatkala berusia 77 tahun pada tahun 1980 dan dikebumikan di Ipoh, Perak.
Allahyarham cicitnya inilah yang membawa pengetahuan SSL ini. Ini bermula di negeri Perak yang ahlinya lebih kurang 10,000 orang. Banyak ditubuhkan sehingga ke Muar. Pendek kata Allahyarham Baginda Zaharuddinlah sebagai pelopor SSL ini.
Maka sebagai mewarisinya ialah cicitnya sendiri yang menyambung perkembangan SSL ini di seluruh Malaysia sehingga kehari ini. Patah Tumbuh, Hilang Berganti. Berita ini dari Tuan Haji Saad Haji Dahlan.

IMAM MAHDI


Sebenarnya Imam Mahdi ini telahpun dilahirkan ke dunia tetapi belum dizahirkan bagi pandangan-pandangan manusia di dalam dunia yang fana ini.. Melainkan zahirnya tatkala hampir pada satu petandaan menandakan dunia hampir kiamat.
Baginda adalah seorang wali Allah yang tidak pernah melakukan sebarang dosapun. Baginda juga adalah dari keturunan junjungan kita jua namanya ialah SYEIKH AL-FATAMI AL-HADI.
Bila baginda zahir ke dunia, maka bagindalah yang menjadi Imam Raja di dunia ini., memusnahkan sekalian yang menyembah selain dari Allah dan membinasakan raja-raja yang zalim. Tersebar Islam ketika itu dengan megahnya, iaitu Mufakah kerja-kerja Nabi kita.

DEMIKIAN INI CUBA KITA FIKIRKAN
Walaupun kita berikrar menjadi pengikutnya tetapi tak mungkin kita bersua di kala itu. Walaupun demikian bagi generasi-generasi yang akan datang mungkin kerana SSL juga telah berada di Negara kita tidak kurang lamanya.
Tetapi masih ada patah tumbuh hilang berganti. Demikian inilah saya terangkan supaya tidak menimbulkan keraguan.

KESIMPULANYA
Semua ini adalah dengan kehendak-kehendak Allah belaka yang Maha Berkuasa, sesuatu yang dipohonkan itu jika benar-benar dijalan Allah, InsyaAllah kita di dalam pemeliharaanya.

SYEIKH ABDUL QADIR AL JAILANI


Sebenarnya beliau telahpun wafat. Keturunanya dari turun temurun junjungan kita jua. Dia adalah Sultan Aulia Allah. Waktu hayatnya itu kekeramatanya luar biasa, boleh berjalan di atas air dan segala-gala ikan mencium tapak kakinya. Begitu juga pada suatu ketika sepatutnya boleh terbang kerana sebab sesuatu perkara yang memerlukan. Begitu juga dapat beliau mengambil Daun dari Syurga sebagai bukti kepada orang-orang majusi akan kebenaran Islam.
Begitu juga di kala pangkuan ibunya, pada suatu ketika ia berhenti menyusu, maka di sini dapatlah ibunya mengetahui sudah masuk Bulan Ramadhan, maka ia juga turut berpuasa. Dia juga sangat amanah dan mentaati orang tuanya dan tidak pernah berdusta. Bila beliau bersyarah, walaupun pendengarnya itu seramai 70 ribu orang yang berjauhan denganya tetap dapat mendengar syarahanya.
Murid-muridnya juga kebanyakanya dari hamba-hamba Allah yang banyak melakukan kerja-kerja yang ditegah Allah seperti menyamun, membunuh dan lain-lainya. Tetapi bila ditanyakan di Neraka, tiada seorangpun murid-muridnya berada di Neraka. Demikian inilah kekeramatanya di kala hayatnya, serba sedikit saya huraikan mungkin mencukupi bagi kita memahaminya. Maka dari itu, marilah kita pohon Syafaatnya. Moga-moga diperkenalkan Allah. Tetapi difahamkan bukanlah kita meminta kepadanya( Syeikh Abdul Qadir Al Jailani) kerana beliau telah pun meninggal dunia.

SOAL ROH DAN ALAM GHAIB


Kewujudanya tidak boleh dipertikaikan. Barangsiapa mempertikaikan Alam Ghaib ini, samalah mengingkari roh itu. Tetapi roh ini tidak boleh dilihat sedangkan ia wujud di dalam jasad manusia. Yang dapat melihatnya adalah bagi mereka-mereka yng kesempurnaan kerohanianya, iaitu orang-orang yang dikasihi Allah. Roh ini kecil tidak dapat dilihat tetapi besarnya tidak dapat dipegang. Juga lebih kuat dari akal dan jiwa. Maka harus kita mengkajinya

SENI SILAT LINTAU (SSL)

Kepada pembaca sekalian, penulis merangkumkan kisah Seni Silat Lintau ini di dalam blog ini kerana memanjangkan cerita daripada Pak Wa iaitu Guru Silat Lintau ini. Segala yang ditulis ini adalah tulisan asal dari buku beliau. Mungkin ada pembaca yang akan bertanya mengapa SSL boleh timbul di dalam blog ini. Jawapanya, secara ikhlas dinyatakan guru saya pernah belajar SSL ini. Ini adalah lumrah atau resmi pendekar pada masa dahulu untuk sentiasa belajar dan mencari serta saling bertukar-tukar pengetahuan, dan tidak timbul isu siapa yang lebih. Kepada anak-anak murid Pak Wa tau sesiapa yang pernah belajar SSL ini boleh menghubungi saya untuk menyambung semula silaturahim yang terputus. Berikut adalah kisah yang ditulis oleh Pak Wa di dalam bukunya.

SENI SILAT LINTAU
Pertama. Difahamkan secara ringkas sahaja , SSL ini memang telah berada di Negara kita ini lebih 200 tahun yang silam dan ada beribu-ribu ahlinya. Tetapi tidaklah terkenal dan dikenali, sepertimana Seni Silat yang lain-lain. Walaubagaimanapun, di Indonesia ia amat dikenali ramai dan disegani, ia juga dipanggil dengan nama Seni Silat Jagur.

Keduanya, Seni Silat Jurus. Silat ini memang terkenal di mana sahaja oleh sebab kesaktian-kesaktianya yang luar biasa dan mengkagumkan sebagaimana yang dapat kita lihat di dalam media. Demikian ini tidaklah boleh dinafikan berlakunya di zaman-zaman dahulunya. Tetapi kini telah lenyap sedikit demi sedikit, walaupun demikian mungkin ada yang tersembunyi bagi mereka yang mengamalkanya, tetapi kebanyakanya telah terpesong dari apa yang sebenar-benarnya, oleh sebab ketakburan.

Ketiganya, timbul pula Seni Silat Nasrul Hak namanya, ini juga tidak kurang ahli-ahlinya. Tetapi Seni Silat ini, kebiasaanya tidaklah mudah menyerang dikecualikan bila mana menimbulkan kemarahan. Seni Silat ini juga hampir lenyap disebabkan, berpunca dari arahan gurunya berlainan antara 1 sama lain, akhirnya keraguan timbul.
Demikian inilah tiga jenis silat peringkat awalnya.

SILAT DEMI SILAT.
Telah timbulnya di Negara kita ini dengan pelbagai nama silat. Walaupun demikian asalanya dari satu rumpun jua. Diwarisi daripada pahlawan-pahlawan kita di zaman dahulunya. Kini telahpun menjadi kebudayaan kita orang Melayu, maka dipertotonkan kepada orang ramai, malahan menjadi pertarungan untuk mendapatkan sesuatu.

TUJUAN ASALNYA.
Keutamaan silat ini adalah untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh-musuh. Maka dijadikan satu gerakan badan yang tersusun rapi, mengikut jenis-jenis silatnya yang dikehendaki sehingga dimajukan di dalam Sukan Dunia Pertarungan.

SENI SILAT LINTAU.
Berlainan dari yang lain-lainya, kerana Seni Silat Lintau ini ialah Silat Kebatinan, boleh menunjukkan pelbagai silat ada padanya. Walaupun demikian tidaklah dipertunjukkan kepada orang ramai sebagai tontonan dan pertarungan, tetapi perkara yang luar biasa itu tersembunyi melainkan ketika waktu yang tertentu digunakan. SSL ini juga banyak berkaitan dengan ajaran yang disertakan keagamaan diselaraskan supaya tidak lari dari maksud yang sebenarnya. Itulah sebab tidak luput hingga kehari ini walaupun tidak banyak mengetahuinya. - Patah Tumbuh Hilang Berganti-

Teredarnya daripada menyeru sesuatu samada orang yang masih hidup atau yang sudah matiatau menyangkakan seseorang itu wali Allah atau dengan kekeramatanya. Begitu juga memuja Datuk Syeikh itu atau ini ataupun kepada saka baka datuk nenek mereka yang dianggap boleh menolongnya. Perkara demikian ini SSL teredar dari menyerunya melainkan menyeru kepada Allah jua tiada yang lain. SSL juga teredar dari satu satu tanda yang menunjukkan seseorang itu sebagai ahlinya. Maksud teredar dari sebarang kebendaan yang ditaja atau yuran kutipan wang setiap bulan yang dikenakan kepada setiap ahli melainkan:-
Seseorang yang hendak menceburkan dirinya di dalam SSL ini maka barulah dikenakan bayaran dan menyediakan barang yang diperlukan iaitu:
1. 3 biji limau nipis.
2. Wang hadiah.
3. Adalah mereka-mereka ini syaratnya mengetahui rukun-rukun Islam dan menunaikan Solat.
4. Tidak mengirakan sesiapa sahaja, lelaki dan perempuan yang berminat.Begitu juga mengikut umurnya. Yang sudah berkhatan dan juga kepada mereka yang telah dewasa.

Cara-caranya
Murid-murid hendaklah mengadap gurunya kerana menceburkan diri di lapangan SSL ini maka hendaklah bersedia dengan berwuduk.


Peranan Guru.
Duduk berkeadaan mengadap kiblat bersama-sama murid, kemudian guru memotong limau, diisikan di dalam mangkuk yang telah disediakan air di dalamnya serta membaca ayat-ayat berkenaan SSL ini.
Kebiasaanya murid itu akan bergerak dengan sendirinya mengikut gerakan oleh kekuasaan batinya sendiri. Kebiasaanya bila mana sudah diijazahkan kepada muri-muridnya maka murid itulah akan melatih sendirimengikut yang diikrarkan itu dibacakan. Kebiasaan bagi murid-murid ini adalah mengikut cara ragam (kebawaanya sendiri), jika ia cenderong kepada bersilat mungkin inilah yang didapatnya. Walaupun demikian ini ada pelbagai juga perkara yang luar biasa didapati antaranya:
1. Melihat alam ghaib yang tidak pernah dilihatnya.
2. Boleh mengubat pesakit yang memerlukanya( sekiranya ia mendapat bahagian ini.
3. Menukarkan corak hidupnya kembali kepada tuhanya lalu tunduk menghinakan diri kepada Allah.
4. Timbullah perasaan kesabaran dan keimanan di dalam semua urusan hidupnya.
5. Ada yang dapat mempertahankan diri bila diserang oleh musuh. Maka musuh itu dengan sendirinya musnah.walaupun musuh itu menggunakan apa senjata sekalipun tetapi tidak memberi kesan apa-apa kepadanya.
6. Ada juga diantaranya dapat petunjuk ke jalan yang diredhai Allah.

APAKAH SEBAB IA BERGERAK DENGAN SENDIRINYA
Difahamkan, bila mana Iman seseorang itu sampai kepada Darjat yang Fana kerana menyebut Allah atau membesarkan Allah, menghinakan dirinya kepada Allah. Maka demikian itu Rohnya menjadi besar lalu menentukan kepada jasadnya, itulah sebabnya bergerak kerana dikuasai oleh rohnya sendiri

PERLU DIELAKKAN (DIJAUHI)
Kalau menjadi ahli SSL ini, jauhkanlah bertujuan lain dari yang lain, seperti berkehendakkan Gagah perkasa, kebal diri, untuk menentang sebarang musuh, juga bermegah-megahan antara satu sama lain dan lain-lain lagi. Tujuan seperti ini telah terkeluar dari dasar-dasar yang sebenarnya. Walaupun demikian di dalam kata-kata sebagai guru membacakan ayat-ayat memotong limau itu. Semuanya sudah diterangkan ini juga harus difahami. InsyaAllah mencukupi sebarang yang kita hadapi itu dengan kekuasaan Allah.
Syarat-syaratnya, kita benar-benar memfanakan diri dan menyerahkan diri kepada Allah.
Pernah berlakunya kepada seorang murid yang baru menjadi ahli dalam sebulan, telah diserang oleh beberapa orang musuh yang bersenjata. Tetapi musuh-musuh itu telah dipegang oleh bumi dan mengeluarkan darah dari tiap-tiap lubang roma mereka.

DIINGATKAN.
SSL ini memang pada masa yang sama ini banyak yang telah bernama seperti itu, tetapi ini tidaklah boleh kita menentukan silat mereka-mereka itu sama dengan kita. Demikian ini kita harus memahaminya. Walaupun demikianjika sama seperti mana kita jua ini tidak menjadi halanganuntuk kamu menceburkan diri di dalam golongan-golongan mereka itu.
Begitu juga jika kamu telah menjadi ahli SSL ini, diharapkan janganlah kamu mencari silat-silat yang lain kerana sebab tujuankamu tidak berhasil. Dengan inijuga boleh memesongkan kamu sendiri tetapi kalaulah kamu mencari ilmu yang dikehendaki Allah bagi kamu bersedia di jalan Allah, ini memang digalakkan.

Kita perlu mengasuhkan diri kita ini berkeadaan seperti berikut:
1. Tidaklah bersedih jika kamu tidak dapat sesuatu sebagaimana yang mereka dapat.
2. Janganlah kamu bermegah-megah dengan keadaan kamu itu keranamendapat sesuatu yang orang lain tidak dapat.
3. Janganlah kamu memperbesar-besarkan apa yang kamu telah dapat dan janganlah kamu menceritakanya kepada orang lain melainkan kepada guru dan ibubapa kamu sendiri sahaja.
4. Ada baiknya kamu mendiamkan diridaripada berkata-katayang tidak mendatangkan faedah.
5. Janganlah kamu melakukan sesuatu tanpa keizinan guru kamuseperti memotong limau, ubat mengubatatau selainya. Ini membahayakan diriwalaupun arahan dari yang ghaib sekalipun.

MENGETAHUI DARI DEKAT.
Sebenarnya saya sebagai murid dan menjadi guru kepada murid di dalam SSL ini tidak kurang 25 tahun. Di dalam masa 2 tahun, telah diijazahkan dari guru saya mengamalkan maka barulah saya memotong limau ‘Bersilat’ ini. Setahun kemudianya barulah boleh mengubat, sebarang pesakit dan perkara-perkara lain lagi. Tetapi tidaklah begitu menumpukan kerja-kerja ini semata.
Dari semenjak itulah menjadi permulaan yang benar-benar sayamenumpukan diri saya tunduk menghinakan diri kepada Allah. Maka timbullah dari segala pengetahuan yang telah sedia ada pada saya mempelajarinya sebagai asas diri,mengingatkan diri untuk diamalkan.
Pengetahuan ilmu SSL ini pada mulanya timbul pada tahun 1960an. Maka dengan ini saya menceburkan diri sebagai ahlinya SSL, berguru kepada seorang hamba Allah dikala itu tinggal di kampong Dato Keramat berusia lingkungan 75 tahun. Saya masih bekerja sebagai Pegawai di dalam sebuah Syarikat pengeluaran baja, Padang Jawa, Klang. Tinggal di Kg Padang Jawa sebagai penyewa salah sebuah rumah yang hampir dengan kilang ini. Umur saya dikala itu 48 tahun dan bersara tahun 1976, genap 55 tahun.
Saya mengambil Ijazah penuh dari guru saya pada tahun 1971(Ijazah penuh). Selama 2 tahun saya mengamalkanya barulah dibolehkan memotong limau. Hingga kehari ini murid saya tidak kurang 1000 orang.
Menurut guru saya, beliau datang ke Malaysia ini seramai 3 orang terus ke Perak. Seorang telah meninggal di Ipoh dan dikebumikan di sana.Beliau meninggal pada umur 77 tahun pada tahun 1980.Seorang lagi telah ‘ghaib’. Tinggallah guru saya seorang. Menurut guru saya anak muridnya seramai 200 orang. Buat masa ini saya adalah orang ke-4 yang memanjangkan pengetahuan ini.
Oleh kerana tabah hati dengan keyakinan saya sendiri tidak peduli apa-apa yang merunsingkan. Maka dari itulah saya dapat sesuatu yang tidak di duga sama sekali dari Allah. Satu demi satu perkara yang luar biasa, sebagai meyakinkan diri saya, sehingga kini telahpun menunaikan kerja-kerja Umrah sebanyak 4 kali dan Haji sekali. Sehingga kehari ini lebih kurang seribu orang murid-murid saya yang menjadi ahli SSL, melainkan kiranya mereka ini menyebut akan saya sebagai Pak Wa ini mungkin dapat diketahui. Demikian inilah diri saya sebagai guru SSL ini.
Guru saya terpisah dengan saya pada tahun 1974, dikala itu beliau tinggal bersama-sama rakanya dari Sumatra, Kg Semonyih. Kemudian menghilangkan diri entah kemana. Ada kedengaran beliau berada di Johor Bahru.
Guru saya seorang bujang hingga ke tuanya, tidak mempunya sanak saudara di Negara ini dan miskin. Menumpang di sana sini kepada sesiapa yang sudi menerimanya. Beliau pernah tinggal bersama saya selama 6 bulan.
Namanya Johari atau lebih dikenali sebagai Pak Johari. Dikenali ramai pada tahun 1960an atas kependekaranya.

PERWATAKANYA
Beliau tidak banyak berbicara(pendiam), jarang mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah. Hatinya bersih, pakaianya hanya ada 2 pasang sahaja yang saya ketahui. Banyak ilmunya, tapi hanya ilmu silatnya saja yang saya ambil.
Beliau juga seorang yang sensitive dan akan membawa diri apabila tersinggung. Mungkin ini salah satu sebab beliau suka berpindah-randah.
Tetapi tersangatlah besar maknanya kepada kita walaupun ilmu Silatnya sahaja yang saya ambil, namun dari situ puncanya satu persatu petunjuk dari Allah datang.

JANGAN DISALAH FAHAMKAN.
SSL ini bukanlah salah satu dari rukun-rukun Islam dan diiktiqadkan pula sesuatu di dalam Islam perlu mengamalkanya. Walaupundemikian harus kita fikirkan ada baiknya sebab yang menjadi ahli SSL ini telah banyak yang berubah dari keadaan biasanya. Seolah-olah satu gerakan yang menyedarkan diri, lalu kembali ke pangkal jalan, tunduk kepada Allah dan menghinakan dirinya.
Cuba kita renungkan kembali kepada mengingatkan apakah yang dipohon oleh guru tatkala memotong limau itu? Dan apakah yang diikrarkan oleh guru bila diijazahkan kepada muridnya. Disinilah kemungkinan penerimaan oleh Allah. Sedikit sebanyaknya dihasilkan olehnya permintaan kita malahan pembawaan guru semuanya kembali ke jalan yang diredhoi oleh Allah belaka.
Tetapi bagi ahli-ahli yang masih muda memanglah menumpukan kepada silat semata-mata kerana keseronokan mreka itu bersilat dengan sendirinya seolah-olah diarahkan. Walaupun tidak ada guru yang mengajarnya. Mereka itu boleh bersilat pelabagai silat. Inilah diminati oleh orang muda.
Demikianlah saya menghuraikan perihal SSL ini yang mana telah berkembang hingga ke hari ini. Tidaklah berkurangan menceburkan diri mereka itu. Kerana mungkin ada sesuatu yang mereka rasai, lihat, atau dengar apa yang tidak pernah di alami di dalam hidupnya.

KESIMPULANYA
SSL ini berasal dari satu rumpun yang sama di mana saya petik dari berita akhbar menceritakan SSL ini dibawa oleh seorang hamba Allah dari Padang Pariaman, Minangkabau, Pulau Sumatra pada tahun 1724.